Fenomena Gunung Jerai dilanda Kepala Air 2021

Banjir kilat yang telah meragut tiga nyawa akibat kesan fenomena kepala air dari kawasan peranginan Air Terjun Seri Perigi di Yan, Kedah yang melanda di sekitar kawasan kaki Gunung Jerai di sini petang semalam, bukan kesan daripada pembalakan yang diuar-uarkan.

Kesan limpahan air deras kepala air berkenaan telah melanda dalam bentuk banjir kilat seumpama tsunami dan telah membanjiri beberapa kampung di sekitar Yan, Gurun dan Tupah yang terletak berdekatan dengan beberapa sungai di sekitar kaki gunung berkenaan.

Menurut kajian yang dilakukan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pangeran Muda Al-Furqan, jika penelitian dibuat terhadap beberapa laluan anak sungai di kawasan berkenaan yang dapat dikesan secara kasar, didapati semua kawasan hulu masih lagi terpelihara.

“Dua projek pembangunan yang dikenalpasti pula adalah di bahagian hilir sungai. Jika projek kuari dan pembangunan tersebut yang menyebabkan fenomena kepala air, ia adalah agak mustahil berpunca hanya daripada dua kawasan berkenaan sahaja.

“Sedangkan fenomena kepala air dan banjir kilat berlaku di seluruh kawasan sungai yang ditanda. Ini kerana awan yang bergerak dari arah tenggara kawasan Gunung Inas ke kawasan yang dilanda banjir kilat itu berkemungkinan jenis nimbostratus, iaitu awan berlonggok yang berada di paras rendah,” jelasnya dalam kenyataan melalui Facebook.

Tambahnya, kelembapan kawasan di sebelah timur menyebabkan penyejalwapan berlaku semasa awan tersebut bergerak.

“Kadar taburan isipadu hujan agak padat dalam dua tiga hari ini, ditambah pula hujan lebat yang turun sejak pagi hingga ke petang menyebabkan kawasan puncak overloaded,” ujarnya.

Tambahan katanya, Gunung Jerai telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal malah ia telah diiktiraf sebagai Tapak GeoPark Kebangsaan pada tahun 2018 oleh Tuanku Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Selain itu, Gunung Jerai juga dalam senarai pengiktirafan daripada UNESCO sebagai tapak geologi tertua di Asia Tenggara.

Semenatara secara saintifik, kawasan berkenaan terletak dalam lingkungan geodiversiti Formasi Jerai, Formasi Mahang dan Granit Jerai.

“Formasi Jerai dengan usia batuan selama 550 juta tahun berada pada kedudukan tertinggi, iaitu 1,217 meter dari aras laut, menjadikan ia sangat unik dan memiliki nilai warisan geologi yang sangat tinggi,”


Published on: October 3, 2021  -  Filed under: Uncategorized