Jerai Geopark dan 7 Tempat wajib pi. mesti best!

Kawasan di sekitar Jerai Geopark merupakan kawasan menarik bagi pencinta alam yang kaya dengan biodiversiti flora dan fauna. Ianya juga merupakan sebuah kawasan yang kaya dengan warisan peninggalan sejarah.

Jadi dalam artikel kali ini, kami akan menyenaraikan tempat-tempat wajib yang perlu anda kunjungi di sekitar atau pun lebih dikenali sebagai Lembah Bujang. Selamat membaca!

  • Tapak arkeologi sungai Batu

Di tapak inilah tamadun terawal di Asia Tenggara iaitu tamadun sungai Batu mula dijumpai oleh penyelidik daripada Universiti Sains Malaysia tahun 2007 dan mereka mula menjalankan aktiviti ekskavasi pada tahun 2009.

Hasil daripada penemuan itu, pelbagai usaha telah diambil untuk membangunkan sungai Batu sebagai produk arkeopelancongan di negeri Kedah.

Ha, kalau hendak tahu, tapak-tapak peleburan besi di Sungai Batu telah wujud seawal tahun 788 sebelum Masihi yang membuktikan bahawa bangsa Melayu merupakan tamadun terawal di Asia Tenggara malahan lebih awal daripada tamadun Rom dan Yunani.

Lebih menarik lagi, tapak tamadun dunia ini sebenarnya lebih awal dibina berbanding dengan Angkor Wat, Kemboja dan Candi Borobudur, Indonesia yang selalu kita pelajari dalam buku teks sejarah.

     

Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya berbangga dengan tapak warisan dunia ini dan menjadikannya sebagai satu tempat yang wajib untuk kita kunjungi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Ha, ingin tahu kenapa muzium ini berlainan daripada muzium-muzium yang ada di Malaysia?

Credit:Trip advisor

Kalau hendak tahu, Muzium Arkeologi Lembah Bujang merupakan satu-satunya Muzium di Malaysia yang mempamerkan koleksi arkeologi yang membuktikan kewujudan pusat perdagangan antarabangsa dan perkembangan agama Hindu Buddha di Asia Tenggara di kurun ke 3 Masihi hingga ke 12 Masihi.

Muzium ini dibina bagi menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi arkeologi serta mempamerkan artifak-artifak protosejarah atau sejarah sebelum Islam dari tapak arkeologi di kawasan Lembah Bujang dengan keluasan 400km persegi.

Ini membuktikan bahawa Lembah Bujang pernah menjadi pelabuhan antarabangsa dan pusat perdagangan yang telah dikunjungi oleh pedagang-pedagang daripada China, India, Arab di samping pedagang-pedagang Melayu dari Kepulauan Melayu yang menguasai rempah ratus dan hasil hutan eksotik untuk pasaran timur sejak kurun ke 5.

  • Gunung Jerai

Gunung Jerai merupakan antara salah satu destinasi pelancongan Jerai Geopark yang wajib di kunjungi di Negeri Kedah. Pelbagai aktiviti yang anda boleh lakukan ketika berada di sana. Suasananya yang sejuk dan nyaman pasti menenangkan jiwa anda.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di Gunung Jerai ialah melawat Muzium Perhutanan Negeri Kedah. Ia adalah salah satu tempat menarik di puncak Gunung Jerai. Di dalam, terdapat berbagai jenis khazanah dan maklumat mengenai hutan simpan Gunung Jerai dipamerkan disini.

Seterusnya, taman Orkid di puncak Gunung Jerai. Ha, bagi pencinta bunga, jangan lepaskan peluang anda untuk mengunjungi tempat ini. Ini kerana, orkid yang ada di puncak ini tidak ada di kawasan yang rendah.

Selain itu, adakah anda ingin makan di tempat yang dingin dan nyaman? Anda boleh mencuba untuk makan di Restoran Puncak Jerai. Ditambah pula dengan pemandangan yang cantik dan kepelbagaian biodiversiti pastinya menambahkan lagi selera anda.

  • Hutan Lipur Titi Hayun

Adakah anda pencinta alam? Atau adakah anda penggemar sukan lasak? Jadi anda bolehlah ke hutan lipur Titi Hayun ini.

Di dalam hutan lipur ini juga terdapat air terjun Putri Mandi terletak di kaki Gunung Jerai. Air terjun ini menjanjikan kepada anda pemandangan yang sangat cantik berbanding air terjun lain.

Selain itu lokasi ini juga sering dijadikan kawasan jungle tracking dan lokasi riadah yang cukup popular di kalangan penduduk setempat. Sepanjang pendakian anda akan berjumpa dengan pelbagai spesies flora dan fauna yang sangat cantik dan memukau mata.

Jangan risau, kepenatan anda sepanjang mendaki tidak akan terasa  bila disajikan dengan pemandangan air terjun yang cukup indah!

  • Tanjung Dawai

Anda mencari tempat untuk membeli buah tangan? Ha, inilah tempatnya! Tanjung Dawai ialah salah satu tempat menarik di Kedah yang wajib dilawati jika bercuti di negeri ini.

Terdapat pelbagai barangan hasil laut dijual seperti, ikan bilis dan pekasam. Jadi, sekiranya anda ingin membawa buah tangan daripada negeri Kedah, anda boleh membeli disini.

Malahan, pantai Tanjung Dawai juga terkenal sebagai lokasi untuk bersantai bersama keluarga di waktu petang. Ramai pengunjung membawa keluarga bersiar-siar sambil melihat pemandangan matahari terbenam disana.

  • Perkampungan tradisional

Adakah anda terkesan dengan tekanan hidup? Atau ingin merasai suasana hidup di kampung? Jadi, anda boleh berkunjung ke kampung Bujang dan kampung Raga.

Kedua-dua kampung ini telah dijadikan sebagai pusat pelancongan bagi pengunjung yang ingin merasai suasana kampung tradisional. Malahan, kampung Raga yang terletak berdekatan Gunung Jerai menampilkan pemandangan indah dan menyejukkan mata yang memandang.

Ha, kalau anda hendak tahu, sungai Raga telah memenangi pertandingan sungai paling bersih peringkat kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut!

Manakala, kampung bujang yang dikenali ramai berikutan terletaknya kawasan arkeologi Lembah Bujang ini merupakan sebuah kampung tradisional yang sering memenangi Pertandingan Kebersihan, Keindahan dan Kemajuan Kampung dan juga Pertandingan Desa Cemerlang.

  • Island Safari ke Pulau Jerai Geopark

Seterusnya, anda boleh melakukan aktiviti meloncat antara pulau untuk melihat keindahan gugusan pulau pesisir Yan. Ini meliputi 4 buah pulau iaitu Pulau Bunting, Pulau Bidan, Pulau Telur dan Pulau Songsong.

Dan yang lebih menarik ialah kesemua pulau ini tidak berpenghuni dan memilik khazanah laut yang cantik seperti terumbu karang, pelbagai jenis ikan yang berwarna-warni, flora dan fauna dan ditambah pula dengan pantai yang sungguh menarik.

Kami di bakauhijau.com sangat menginginkan anda untuk pulang bersama seribu satu pengalaman yang menyeronokkan. Jika anda mempunyai pengalaman yang berbeza untuk dikongsikan tentang tempat yang menarik di sekitar Jerai Geopark ini, bolehlah kongsikan bersama kami!


Published on: June 15, 2020  -  Filed under: Uncategorized


2 comments

Husni Tourism

November 24, 2021 at 3:54 am

Terbaik…. ada gambar Sungai Raga?

Bakauhijaumerbok

January 15, 2022 at 12:36 pm

Belum ada encik.Nanti kami update

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *